Khasiat dan Cara Makan Tuhau, Ulam Tradisi Borneo

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Pernahkah anda mendengar tentang tumbuhan yang bernama tuhau?

Mungkin ada yang tidak pernah mencubanya kerana ia kurang terkenal di Semenanjung Malaysia.

Tumbuhan dengan nama saintifik Etingera coccinea ini berasal dari Borneo dan tumbuh secara liar di hutan sekitar Sabah dan Sarawak khususnya berdekatan dengan paya dan tanah lembap.

Namun, atas permintaannya yang tinggi, sesetengah penduduk tempatan turut menanamnya di kawasan masing-masing.

Ciri-ciri pokoknya dikatakan hampir sama dengan kantan dari segi bentuk daun, batang dan ketinggiannya.

tuhau
Sumber : Facebook Seri Cendikiawan
Sumber : Facebook Marajun Condrad

Apa yang membezakannya adalah bentuk bunga serta bau.

Mempunyai bau yang agak kuat dan rasa yang unik, tuhau merupakan ramuan bagi hidangan tradisional yang terkenal dalam kalangan Kadazan Dusun.

Baunya dikatakan kuat seperti sejenis serangga (kesing) atau seperti bau daun ketumbar.

Ia boleh dimakan secara mentah atau dijadikan hidangan sampingan seperti jeruk dan sambal.

Khasiat dan Kegunaan Secara Tradisional

Sebuah kajian daripada Universiti Malaysia Sabah menunjukkan bahawa tumbuhan ini berpotensi untuk membekalkan khasiat antioksida untuk tubuh.

Jadi, tidak hairanlah mengapa ia sering digunakan secara tradisional dalam merawat pelbagai penyakit seperti sakit perut dan gastrik.

Dengan kandungan serat sebanyak 19.8 gram bagi setiap 100 gram tuhau, tumbuhan ini boleh dijadikan sumber serat yang baik bagi melancarkan sistem pencernaan dan bagi mengelakkan pelbagai penyakit berkaitan perut seperti sembelit dan kembung perut.

Meskipun kajian masih jarang bagi tumbuhan ini, ia dikatakan mempunyai potensi untuk mencuci darah yang kotor serta menstabilkan tekanan darah.

Ia juga didapati kaya dengan khasiat vitamin dan mineral seperti kalium dan vitamin B1.

Sejak dahulu, tuhau yang turut dikenali sebagai halia liar ini juga sering digunakan secara tradisional untuk merawat sakit perut.

Pucuk mudanya pula sering direndam di dalam air dan diletakkan di bahagian luka.

Wanita berpantang juga ada yang menggunakan tuhau untuk menghilangkan bau badan.

Terdapat beberapa kajian yang turut melaporkan bahawa tumbuhan ini mempunyai komponen antibakteria dan antikanser yang berpotensi untuk kesihatan tubuh.

Sumber : Facebook Facebook Cafe Toud Tokou

Cara Makan Tuhau

Umbut tuhau boleh dimakan mentah sebagai ulam dan dimakan bersama nasi. Ada juga yang menikmatinya bersama ikan masin dan lada putih mengikut cita rasa masing-masing.

Pada masa yang sama, ia juga sering dijadikan sebagai sambal ringkas dengan menghancurnya kemudian dicampur dengan cili padi, cuka, garam dan perahan air limau.

Ia juga sering disediakan sebagai jeruk dengan dihiris nipis kemudian direndam bersama garam dan cuka.

tuhau
Sumber : Facebook Kilin n Family Corner
tuhau

Jeruknya juga sering dipadankan bersama satu lagi hidangan tradisional Borneo yang dikenali sebagai pinasakan iaitu juadah berasaskan ikan.  

Bagi anda yang ingin tahu bagaimana tuhau, anda boleh mendapatkannya dengan mudah secara atas talian.

Memang rugi untuk tidak mencubanya sendiri kerana jeruk tuhau juga telah diwartakan sebagai salah satu makanan warisan dalam Pengisytiharaan Objek Warisan 2024.

Sumber : Facebook Fiesta Original Sabahan, Journal of Tropical Biology and Conservation Universiti Malaysia Sabah, Antioxidant and antibacterial properties of tuhau (etungera punicae). Universiti Malaysia Sabah, News Straits Times

Baca Juga : Daun Kesum: Khasiat Pada Kesihatan & Cara Tanam Yang Betul

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});