Semakan Pinjaman PTPTN & Tarikh Bayaran Online

ptptn
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

PTPTN atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional merupakan dana pinjaman pendidikan untuk para pelajar menyambung pengajian di IPTA atau IPTS dalam Malaysia.

Idea asal penubuhan PTPTN pertama kali diumumkan di Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1995 oleh Najib Razak yang merupakan Menteri Pendidikan ketika itu.

Namun pada peringkat awal PTPTN adalah dana yang dikhususkan untuk membantu bumiputera miskin melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Ketika mula beroperasi, PTPTN hanya memberi pinjaman kepada pelajar di 11 IPTA (Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, dan Institut Teknologi MARA) dan 3 IPTS milik syarikat GLC (Universiti Telekom, Universiti Petronas, dan Universiti Tenaga Nasional).

Penerima pinjaman PTPTN batch pertama adalah seramai 9,091 pelajar yang mendapat RM 1,500 setahun (untuk IPTA) dan RM 4,000 setahun (untuk IPTS).

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang syarat, cara permohonan dan dokumen yang perlu anda sediakan untuk memudahkan urusan.

Permohonan PTPTN Kali Pertama

Kini permohonan PTPTN terbuka kepada semua pelajar IPT yang tidak menerima biasiswa.

Permohonan boleh dibuat secara online dengan mengisi borang permohonan di https://www.ptptn.gov.my

permohonan PTPTN kali pertama

Sebelum membuat permohonan, pastikan anda telah:

  • Menerima tawaran IPT
  • Mempunyai salah satu nombor akaun SSPN
  • Mempunyai akaun bank mengikut panel bank IPT anda
  • Membuat semakan jadual permohonan dan bayaran balik pinjaman

Manual permohonan (PDF) boleh dimuat turun di sini.

Semakan jadual permohonan boleh dibuat mengikut nama kursus atau nama IPT masing-masing di https://www.ptptn.gov.my/msk/Utama

Antara maklumat yang dipaparkan termasuk panel bank, kadar pinjaman dan kos yuran pengajian.

jadual permohonan ptptn

Syarat-Syarat Permohonan

  1. Warganegara Malaysia;
  2. Berumur tidak melebihi 45 tahun pada tarikh memohon;
  3. Mendapat tawaran ke IPTA / IPTS dan Politeknik dengan memenuhi syarat kelayakan masuk yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA);
  4. Kursus yang diikuti oleh pelajar IPTA / IPTS dan Politeknik mestilah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan berdaftar dengan PTPTN;
  5. Bagi pelajar-pelajar IPTS, kursus yang diikuti mestilah mendapat Sijil Perakuan Akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan masih di dalam tempoh sah laku semasa tarikh memohon;
  6. Bagi pelajar yang mempunyai kelayakan berbeza pengesahan perlu diperolehi daripada jabatan atau agensi sebagaimana dinyatakan di atas;
  7. Baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan hendaklah tidak kurang dari satu (1) tahun;
  8. Telah membuka akaun SSPN-i/ SSPN-i Plus.

Hanya akaun SSPN-i yang mempunyai 15 digit sahaja yang boleh membuat permohonan PTPTN. Sila hubungi cawangan PTPTN berhampiran untuk menyemak nombor akaun SSPN-i 15 digit.

Jumlah Pinjaman

Jumlah pembiayaan ditentukan berdasarkan kelayakan di bawah:

TERKINI : Pinjaman PTPTN kepada mahasiswa golongan M40 (M1) dinaikkan daripada 75 kepada 100 peratus – PM Ismail Sabri

Sebelum ini, jumlah pinjaman ditentukan berdasarkan pendapatan bersih isi rumah penjaga seperti di bawah:

JUMLAH PINJAMANKELAYAKAN
MaksimumSekiranya pelajar atau penjaga pelajar disenaraikan sebagai penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)
75% daripada pinjaman maksimumPendapatan keluarga tidak melebihi RM8,000 (tiada dalam data BKM)
50% daripada pinjaman maksimumPendapatan keluarga melebihi RM8,000 (tiada dalam data BKM)

Rayuan pinjaman kategori maksimum hanya dipertimbangkan sekiranya pelajar atau penjaga pelajar disenaraikan sebagai penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun semasa permohonan PTPTN diluluskan.

Program Sepenuh Masa

Program Separuh Masa

Pinjaman untuk Separuh Masa IPTS disediakan bagi Universiti Terbuka Malaysia, Universiti Terbuka Wawasan, Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Asia E Universiti dan UNITAR sahaja.

Permohonan Kali Kedua

Bagi peminjam sedia ada yang ingin memohon PTPTN kali kedua, anda boleh berbuat demikian melalui sistem i-Online.

Sistem tersebut juga boleh digunakan untuk semak status permohonan pinjaman, cetak surat tawaran dan semak penyata pinjaman terkini.

Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) RM1,500

PTPTN juga menawarkan wang pendahuluan pinjaman atau WPP sebanyak RM1,500 bagi persediaan pelajar sebelum mendaftar di IPT.

Wang tersebut akan dipotong setiap semester sebanyak RM500 (selama 3 semester).

Berikut syarat-syarat untuk memohon WPP:

  1. Pelajar telah membuat persetujuan menerima WPP;
  2. Pelajar adalah Warganegara Malaysia;
  3. Ibu bapa/ Penjaga/ Pelajar adalah Penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH);
  4. Pelajar ditawarkan pengajian bagi peringkat pengajian Diploma atau Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa di IPTA dan Politeknik sahaja;
  5. Pelajar tidak mempunyai hutang WPP.

Sekiranya lulus, penunaian boleh dibuat di mana-mana kaunter Bank Islam dengan membawa surat tawaran WPP dan MyKad pelajar (wakil tidak dibenarkan).

Semakan tawaran WPP boleh dibuat di sini.

Bayaran Balik PTPTN

Peminjam hendaklah membuat bayaran balik PTPTN selepas 12 bulan tamat pengajian tanpa perlu menunggu notis bayaran balik.

Jumlah bayaran balik adalah seperti yang tertera dalam Dokumen Tawaran Pinjaman.

Kos upah atau Ujrah akan dikenakan bermula bulan ke-13.

Jadi sekiranya peminjam membuat bayaran lebih awal tiada kos ujrah dikenakan sepanjang 12 bulan tersebut.

Penangguhan Bayaran Balik

Bagaimana pula jika peminjam ingin membuat penangguhan bayaran balik PTPTN?

Sekiranya cukup syarat, permohonan penangguhan perlu dibuat melalui surat permohonan rasmi atau borang penangguhan ini.

Perlu diingatkan, kos upah masih dikenakan sepanjang proses penangguhan pinjaman.

Tempoh penangguhan akan ditetapkan oleh PTPTN.

Antara permohonan yang layak dipertimbangkan:

  • Peminjam yang telah tamat pengajian terdahulu dan menyambung semula pengajian secara sepenuh masa
  • Peminjam yang mengikuti kursus berkembar secara 2+1 atau 2+2 yang memerlukan peminjam tersebut meneruskan pengajian di luar negara
  • Peminjam yang menambah tempoh pengajian (Extend Semester)
  • Tidak bekerja

PTPTN berhak membatalkan penangguhan ini sekiranya:

  1. Didapati peminjam menerima gaji atau elaun dalam tempoh penangguhan.
  2. Didapati peminjam memberikan maklumat palsu untuk mendapatkan kelulusan permohonan penangguhan.

Pengecualian Bayaran Balik

Pengecualian bayaran balik PTPTN bagi pemegang Ijazah Kelas Pertama boleh dibuat secara online selewat-lewatnya 12 bulan selepas tarikh konvokesyen.

Berikut senarai dokuman yang diperlukan:

  • Salinan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama atau setaraf dengannya yang disahkan (Skrol)
  • Salinan transkrip keputusan peperiksaan yang disahkan
  • Salinan Sijil Perakuan Akreditasi daripada MQA yang disahkan (Bagi peminjam IPTS)
  • Surat pengesahan Kelas Pertama (jika tidak dicatatkan perkataan “Kelas Pertama” pada Ijazah)
  • Surat pengesahan tamat pengajian (jika tidak dicatatkan tarikh tamat pengajian pada ijazah/ transkrip)
  • Dokumen pendapatan seperti slip gaji, penyata KWSP terkini, penyata cukai taksiran terkini, dan penyata pencen.

Penstrukturan Semula Pinjaman PTPTN

Penstrukturan semula pinjaman diperkenalkan supaya memudahkan peminjam untuk mengubah struktur Jadual Bayaran Balik (JBB) dan menetapkan ansuran bulanan berdasarkan kemampuan peminjam.

Tempoh bayaran balik boleh dipanjangkan sehingga peminjam mencapai umur 60 tahun.

Tiada caj pemprosesan dikenakan bagi penstrukturan/ penjadualan semula pada kali pertama, manakala bagi kali kedua dan seterusnya, caj yang dikenakan adalah seperti berikut:

  • Kali kedua : RM50;
  • Kali ketiga : RM100;
  • Kali keempat : RM150; dan
  • Kali kelima dan seterusnya : RM200

Saluran Bayaran Balik (JomPay PTPTN)

PTPTN memperkenalkan pelbagai saluran bayaran balik pinjaman.

Ada yang percuma dan ada yang mengenakan caj sehingga RM2.

Paling mudah, peminjam boleh terus membuat potongan gaji melalui JANM.

Atau peminjam boleh juga membuat potongan secara berkala daripada akaun simpanan / semasa melalui Direct Debit.

Kedua-dua saluran bayaran balik di atas tidak mengenakan sebarang caj kepada peminjam.

Bayaran balik hendaklah dibuat selewat-lewatnya 27 haribulan setiap bulan untuk memastikan transaksi tersebut dikemaskini dalam penyata pada bulan semasa.

Transaksi selepas tarikh tersebut akan dikemaskini dalam penyata pada bulan berikutnya. 

Klik di sini untuk akses senarai penuh saluran pembayaran yang disediakan oleh PTPTN.

Semakan Penyata PTPTN Online

Untuk semak penyata baki pinjaman terkini, anda boleh login di sini.

Kemudian masukkan nombor kad pengenalan anda dan klik “CARI”

Kemudian barulah anda boleh login ke dalam sistem i-Online PTPTN.

e-Aduan

Sekiranya terdapat sebarang masalah, anda boleh berhubung terus melalui ruangan “live chat” yang disediakan.

Atau boleh juga membuat aduan secara online di sini.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});