Cendawan Butang : Khasiat, Nutrisi dan Contoh Resepi Ringkas

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Terdapat lebih 2,000 jenis cendawan yang boleh dimakan, namun cendawan butang merupakan antara jenis cendawan yang paling banyak dimakan di dunia.

Rasanya yang enak menjadikan ia sesuai untuk digunakan dalam pelbagai resepi seperti salad, sup, telur dadar dan sebagainya.

Di sebalik keenakan cendawan ini, ia turut mengandungi pelbagai khasiat, vitamin serta mineral yang penting untuk keperluan tubuh.

Ayuh kita kenali cendawan popular ini dengan lebih dekat.

Jenis Cendawan Butang

Secara amnya, cendawan ini mempunyai beberapa jenis yang boleh dijumpai di pasaran. Walau bagaimana pun, ia masih berasal daripada jenis cendawan yang sama iaitu White Button Mushroom dengan nama saintifik Agaricus Bisphorus.

Apa yang membezakannya adalah tahap pertumbuhan dan waktu dituai. Terdapat tiga jenis cendawan butang yang boleh didapati di pasaran iaitu :

1.Common Button, Table Mushroom

cendawan butang
Sumber : blog.suharti.org
  • Cendawan butang berwarna putih dan bersaiz kecil
  • Dituai pada fasa awal pertumbuhan ketika ia belum matang

2. Cremini

cendawan butang
Sumber : Chef Steps
  • Cendawan butang berwarna perang
  • Mempunyai batang yang lebih tebal dan keras
  • Dikatakan mempunyai rasa yang lebih kuat dan sedikit liat berbanding cendawan butang putih.

3. Portobello

cendawan butang
Sumber : inspiredtaste.net
  • Cendawan butang bersaiz paling besar
  • Mempunyai ‘insang’ yang lebih gelap
  • Dituai ketika sudah matang
  • Sering dijumpai dalam hidangan Itali dan makanan segera Barat seperti pizza, pasta dan burger.

Kandungan Nutrisi

100 gram cendawan butang mampu membekalkan nutrisi seperti berikut :

NutrisiJumlah
Kalori22 kcal
Karbohidrat3.26 g
Protein2.18 g
Serat1 g
Niacin3.607 mg
Vitamin C2.1 mg
Vitamin D21 IU
Kuprum0.318 mg
Fosforus86 mg
Magnesium9 mg
Selenium9.3 ug
Zink0.52 mg
Riboflavin0.402 mg

Khasiat Cendawan Butang Untuk Kesihatan

Tinggi Kandungan Vitamin D

Cendawan ini merupakan antara sumber vitamin D daripada tumbuhan yang agak jarang dijumpai. Vitamin D membantu penyerapan kalsium yang lebih berkesan. Di samping itu, ia juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan otot dan sistem imun tubuh.

Menguatkan Sistem Imuniti Badan

Selain vitamin D, terdapat beberapa khasiat lain dalam cendawan ini yang turut membantu dalam menyokong sistem imuniti badan.

Antaranya ialah serat mudah larut yang dikenali sebagai beta glucan. Serat ini mampu mengaktifkan beberapa bahagian dalam sistem pertahanan badan termasuk sel imunisasi yang berfungsi dalam menghapuskan jangkitan serta pertumbuhan tumor.

Di samping itu, cendawan ini turut mengandungi selenium yang berfungsi dalam mencegah kerosakan sel dan tisu dalam tubuh.

Berpotensi Untuk Tingkatkan Kesihatan Perut

Beta glucan juga didapati berpotensi untuk berfungsi sebagai prebiotik bagi meningkatkan perkembangan bakteria baik dalam usus serta membaiki sistem penghadaman.

Tinggi Vitamin B2

100 g cendawan butang juga mampu membekalkan sehingga 31% keperluan riboflvain (vitamin B2) setiap hari.

Vitamin ini penting dalam membantu penghasilan sel darah merah serta pengekalan tenaga bagi tubuh.

Individu yang kurang mengambil vitamin B2 pula cenderung untuk mengalami masalah seperti ulser mulut, bibir merekah dan masalah kulit.

Resepi Ringkas Menggunakan Cendawan Butang

Sup Cendawan Premium

Sumber : Facebook Ben Safwan

Bahan-bahan :

  • 1 pek cendawan butang putih gred A (6 ke 7 biji)
  • ½ bawang Holland saiz bola tenis
  • 7-8 cm lobak merah
  • 1 batang leek (ambil dari putih ke hijau)
  • 150 ml cooking cream
  • 200 ml susu
  • 1 keping keju cheddar
  • 1 sudu makan unsalted pure butter

Cara-cara :

  • Hiriskan cendawan dan masak tanpa minyak sehingga cendawan mulai perang, layu dan keluar air.
  • Masukkan cendawan yang sudah dimasak di dalam pengisar bersama susu. Kisar secara kasar
  • Kemudian, masukkannya semula ke dalam pan dan biarkan mendidih sambil kacau.
  • Seterusnya, tambahkan 150 ml cooking cream, cheddar cheese dan butter.
  • Perasakan sedikit dengan garam dan serbuk perasa.
  • Sup cendawan sedia untuk dihidang bersama roti bakar.

Sayur Cendawan dan Brokoli Goreng Sos Tiram

Sumber : Facebook Resepi Enak

Bahan-bahan :

  • 200 gram cendawan butang (boleh juga guna yang dalam tin)
  • 200 gram brokoli
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam
  • 1-3 sudu besar kicap manis
  • ½ biji lada benggala
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • Minyak untuk menumis
  • Sedikit air
  • Garam secukup rasa

Cara-cara :

  • Bersihkan brokoli dan lada benggala dan potongkan mengikut citarasa kemudian celur.
  • Panaskan kuali dan tumiskan hirisan bawang besar sehingga naik bau
  • Seterusnya, masukkan lada hitam, kicap manis dan sos tiram. Kacau rata.
  • Masukkan sedikit air jika suka berkuah dan masukkan garam secukup rasa.
  • Setelah menggelegak sedikit, masukkan pula cendawan, lada benggala dan brokoli.
  • Gaul sehingga sebati dan biarkan masak seketika. Jangan masak terlalu lama hingga brokoli menjadi layu.
  • Hidangan sedia untuk disajikan.

Telur Dadar Cendawan

Sumber : indianhealthyrecipes.com

Bahan-bahan :

  • 2 biji telur
  • Sedikit garam
  • ½ cawan cendawan butang (dihiris)
  • 2 ke 3 ulas bawang putih (dicincang)
  • 1 batang cili hijau (dicincang)
  • 1 biji bawang kecil (dihiris)
  • ¼ cawan lada benggala (optional, kalau tak letak pun boleh)
  • 1 sudu minyak
  • Sedikit lada hitam
  • 2 sudu daun ketumbar (dicincang)

Cara-cara :

  • Pecahkan telur ke dalam mangkuk bersama garam dan lada hitam. Pukul sehingga berbuih dan letakkan di tepi seketika.
  • Panaskan minyak dalam pan dan masukkan bawang putih dan bawang kecil. Kacau sehingga naik bau.
  • Kemudian masukkan daun ketumbar. Gaulkan dan angkat.
  • Dalam pan yang sama, masukkan sedikit minyak dan letakkan telur yang sudah dipukul tadi.
  • Apabila telur sudah hampir masak, letakkan bawang yang telah ditumis dan cendawan. Letakkan secara merata.
  • Kemudian terbalikkan dan biarkan sehingga telur dadar dimasak sempurna.
  • Telur dadar boleh diangkat dan dihidangkan.

Tak sangka rupanya cendawan butang memiliki banyak khasiat vitamin serta mineral yang penting untuk tubuh. Bukan sahaja enak, malah ia juga sesuai untuk dimasak dalam pelbagai hidangan yang menarik.

Memang sesuai untuk dinikmati ketika waktu sarapan, makan tengah hari mahupun makan malam.  

Sumber : bbcgoodfood.com, livestrong.com, Nutrition and You, Facebook Ben Safwan, Facebook Resepi Enak, indianhealthrecipes.com

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});